Wanita maut jatuh dari tingkat enam
Teoh El Sen
Februari 14, 2013 17:33 MYT
Februari 14, 2013 17:33 MYT
Satu kejadian tragis berlaku pada Hari Kekasih di mana seorang wanita berusia 36 tahun maut setelah terjatuh dari tingkat enam sebuah pusat membeli-belah di Jalan Imbi.
Wanita yang dikenali sebagai Choo Czek Yeng dilihat sedang berdiri pada barisan penghadang sebelum jatuh ke bawah.
Dia kali terakhir dilihat berada di situ pada jam 10.00 pagi.
Ketua polis daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad memaklumkan tiada sebarang kecederaan lain pada badan mangsa.
Kata beliau, setakat ini tiada saksi yang tampil mendakwa melihat wanita itu terjun.
Selain itu katanya tiada sebarang kamera litar tertutup (CCTV) yang merakam kejadian tersebut.
Seorang kakitangan pusat membeli-belah terbabit ketika dihubungi memaklumkan bahawa pihak pengurusan tidak mempunyai banyak maklumat tentang kejadian itu.
“Tiada komen. Kami serahkan pada pihak polis kerana mereka yang menyiasat kes ini. Saya minta maaf,” kata kakitangan tersebut yang enggan dikenali.
Sementara itu, kejadian tersebut juga mendapat perhatian pengguna laman media sosial, Twitter.
Antara reaksi yang diberi termasuk ucapan takziah, edaran foto mangsa serta gesaan supaya tidak mempersendakan kejadian itu.