Wanita maut, empat termasuk kanak-kanak cedera, nahas dua kenderaan
Aida Aziz
April 14, 2024 06:30 MYT
April 14, 2024 06:30 MYT
KAMPUNG GAJAH: Seorang wanita maut manakala empat termasuk dua kanak-kanak cedera dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan di pekan ini, di sini, malam tadi.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, kemalangan itu membabitkan kereta jenis Perodua Kancil dan Proton Perdana.
Terdapat empat mangsa dari Perodua Kancil iaitu dua kanak-kanak lelaki dan dua wanita, pemandunya disahkan maut oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
Sementara itu, seorang mangsa lelaki dari Proton Perdana mengalami kecederaan.
Difahamkan, mangsa iaitu pemandu Perodua Kancil yang maut di lokasi kejadian dikenali sebagai Nurizyani Ismail, 43 tahun.
"Panggilan kecemasan diterima pada jam 7.16 malam dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampung Gajah dan Seri Iskandar digerakkan ke lokasi.
"Empat orang tersepit dari dua kenderaan itu dan operasi mengeluarkan mangsa dilaksanakan menggunakan peralatan menyelamat," katanya dalam kenyataan lewat malam tadi.
Tambahnya, kesemua mangsa diserahkan kepada pihak KKM untuk rawatan lanjut dan dibawa ke hospital.
Operasi yang membabitkan 16 orang anggota bomba itu diketuai oleh PBK II Megat Mohd Dahari Jamaluddin dan tamat pada 9.50 malam.