Wanita maut, dua kanak-kanak cedera, kereta terbabas langgar pokok

Abd Razak Mohd Ali
April 29, 2022 18:46 MYT
Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa dari kenderaan yang remuk selepas terlanggar sebatang pokok. - Gambar ihsan JBPM
SUNGAI SIPUT: Seorang wanita maut manakala dua kanak-kanak, dipercayai anaknya cedera selepas kereta yang dipandunya terbabas lalu melanggar pokok di Jalan Besar Sungai Siput di sini, hari ini.
Mangsa yang berusia 44 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dua kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dan 13 tahun cedera di muka dan kaki.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada pukul 12.48 tengah hari.
“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Hyundai telah terbabas melanggar sebatang pokok.
“Seorang mangsa wanita dewasa didapati tersepit di tempat duduk pemandu dan disahkan maut di lokasi oleh pihak Kementerian Kesihatan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Menurut jurucakap itu, anggota bomba menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis dan ambulan untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Suhaimi Samad berakhir pukul 1.52 tengah hari.
#wanita maut #dua kanak-kanak cedera #kereta terbabas #langgar pokok
;