Wanita maut ditimpa serpihan patung batu
Abd Razak Mohd Ali
Mei 15, 2022 18:50 MYT
Mei 15, 2022 18:50 MYT
IPOH: Seorang wanita maut selepas ditimpa serpihan patung batu yang terjatuh dari bahagian atas bangunan sebuah kuil di Buntong di sini, pagi ini.
Mangsa dikenali sebagai R. Manimegalai, 53, yang beralamat di Nibong Tebal, Pulau Pinang.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya telah menerima laporan mengenai kejadian itu sekitar pukul 9.50 pagi.
Menurutnya, kemalangan berlaku semasa upacara sambutan Maha Kumbhabishegam di Kuil Arulmigu Visalatchi Sametha Viswanathar Sivalayam Paripalana Sabah, Buntong.
Katanya, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.
“Mangsa disahkan meninggal dunia setelah rawatan kecemasan diberikan oleh pihak hospital,” katanya dalam kenyataan di sini.
Dalam masa sama, kata beliau, kejadian itu turut menyebabkan kecederaan ringan terhadap dua wanita lain yang berada di tempat kejadian.
Mior Faridalathrash berkata,kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan satu laporan telah dibuka untuk menjalankan siasatan lanjut.
Beliau meminta kerjasama orang awam yang menyaksikan kejadian supaya menghubungi pegawai penyiasat, ASP Mohd Hassbullah Hasan di talian 013-5555585 untuk membantu siasatan.