Wanita maut ditikam anak kandung
Bernama
Jun 29, 2018 05:25 MYT
Jun 29, 2018 05:25 MYT
Seorang wanita berusia 50 tahun maut selepas ditikam anak lelakinya di rumah mereka di Taman Langat Utama 3, Kampung RTB Bukit Changgang, Banting dekat sini pada Jumaat.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Langat, DSP Kamalariffin Aman Shah berkata dalam kejadian kira-kira 2.10 petang itu, suspek berusia 20 tahun dipercayai menikam mangsa, Mardziah Muhamad Yusof di bahagian kepala dengan sebilah pisau.
"Berdasarkan siasatan, suami mangsa bersama anak lelakinya yang berumur 12 tahun baru balik dari solat Jumaat dan setelah sampai di pintu hadapan rumah, suami mangsa mendapati suspek meluru berlari keluar dari rumah dalam keadaan tangan berdarah serta hanya memakai tuala mandi.
"Suspek melarikan diri ke arah kiri jalan dan suami mangsa bertindak mengejar suspek tetapi berpatah balik ke rumah untuk melihat apa yang berlaku. Anaknya berumur 12 tahun seterusnya masuk ke dalam rumah dan mendapati ibunya berdarah di kepala terbaring di ruang dapur...suami mangsa kemudian segera hubungi pihak polis," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata suspek yang tidak bekerja merupakan anak keenam daripada 10 beradik, dan tinggal di rumah berkenaan bersama mangsa dan bapanya serta adik lelaki berusia 12 tahun itu.
Kamalariffin berkata semasa kejadian hanya mangsa, suspek dan lima kanak-kanak asuhan mangsa berumur antara dua hingga empat tahun berada di dalam rumah, namun kesemua kanak-kanak berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kata beliau, pisau dengan kesan darah yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu turut ditemui berdekatan mayat mangsa.
"Suspek berjaya ditangkap kira-kira sejam selepas kejadian 50 meter dari rumah mangsa. Semasa ditahan dia seolah-olah dalam keadaan kurang siuman. Kita sedang siasat lanjut mengenai perkara itu, sama ada dia berada di bawah pengaruh dadah ketika kejadian," katanya.
Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Banting untuk bedah siasat dan suspek akan direman esok untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
-- BERNAMA
#anak
#Banting
#bukit changgang
#Dadah
#Kamalariffin Aman Shah
#Kanun Keseksaan
#Kuala Langat
#kurang siuman
#mangsa
#Mardziah Muhamad Yusof
#maut
#pisau
#polis
#siasatan
#suspek
#taman langat utama
#tikam
#wanita