Wanita maut diserang buaya ketika menjala udang
Rohana Wahed
Oktober 17, 2018 16:43 MYT
Oktober 17, 2018 16:43 MYT
Misteri kehilangan seorang wanita ketika keluar menjala udang terjawab hari ini apabila dia ditemukan tidak bernyawa di tebing sebatang sungai.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata ketika dijumpai, terdapat kesan gigitan dipercayai oleh buaya pada anggota kaki dan badan mangsa.
“Sebelum itu, mangsa Maznah Moh, 39 tahun, dilaporkan hilang sekitar jam 9 pagi dan perahunya ditemukan hanyut di Sungai Sawai di sini.
"Gerakan mencari kemudian telah dilakukan oleh penduduk kampung sebelum mayat mangsa dijumpai pada jam 12.00 tengah hari tadi," kata Ling Hii.
Mayat mangsa kemudian dibawa pulang oleh ahli keluarga untuk proses pengebumian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad ketika dihubungi berkata penduduk yang tinggal berdekatan sungai perlu mengurangkan aktiviti sungai ketika ini.
Katanya, walaupun sebelum ini tiada laporan kehadiran buaya di kawasan berkenaan tetapi penduduk diingatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga.
"Jangan menjala udang berseorangan kerana lokasi banyak udang selalu jadi lubuk buaya," tambahnya lagi.