Wanita maut dilanggar bas mini di Tawau

Petrus Bernard
Ogos 10, 2022 04:30 MYT
Akibat jarak yang terlalu dekat, bas mini terbabit tidak sempat mengelak dan melanggar pejalan kaki tersebut.
TAWAU: Seorang wanita berusia lingkungan 30an maut selepas dilanggar sebuah bas mini di Bulatan Jalan Pesisiran, Jalan Nusantara Tawau, Sabah pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.55 pagi, bas mini yang dipandu lelaki tempatan berumur 34 tahun itu sedang bergerak dari arah Pasar Tanjung menuju ke Terminal Bas Sabindo.
Apabila tiba di lokasi kejadian, seorang pejalan kaki wanita secara tiba-tiba melintas jalan.
Akibat jarak yang terlalu dekat, bas mini terbabit tidak sempat mengelak dan melanggar pejalan kaki tersebut.
Mangsa terhumban dua meter dan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Siasatan awal, polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri pada mangsa.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tawau untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#Bulatan Jalan Pesisiran #Jalan Nusantara Tawau #wanita maut dirempuh bas mini #pejalan kaki maut