Wanita maut dikelar: Polis tahan teman lelaki, cemburu dipercayai jadi punca
Bernama
Februari 20, 2022 17:33 MYT
Februari 20, 2022 17:33 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang dikehendaki polis kerana disyaki terlibat dalam pergaduhan di Serdang Perdana, Seri Kembangan malam tadi sehingga menyebabkan kematian seorang wanita, menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Serdang A. A Anbalagan dalam kenyataan hari ini berkata lelaki berumur 33 tahun yang juga teman lelaki mangsa menyerah diri pada pukul 11.30 pagi dan motif pembunuhan dipercayai kerana cemburu.
Anbalagan berkata ujian air kencing terhadap suspek yang bekerja sebagai pemandu lori adalah negatif dadah dan pihak polis sedang meneruskan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Semalam, seorang wanita berusia 29 tahun maut dipercayai dikelar dalam pergaduhan di premis perniagaannya.
-- BERNAMA