Wanita maut dibakar suami, berang dituduh ambil dadah jadi punca

Aida Aziz
Julai 12, 2023 17:00 MYT
Polis telah menahan suspek sekitar jam 11 malam tadi di sebuah restoran di Lumut. - Gambar hiasan
MANJUNG: Berang dituduh mengambil dadah, seorang lelaki berusia 28 tahun tergamak membakar isterinya di rumah mereka dekat Kampung Bharu, di sini Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Mohamed Nordin Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut daripada kakak suspek kira-kira jam 6.42 petang.
"Hasil siasatan mendapati, punca kejadian disebabkan suspek tidak berpuas hati dengan mangsa berusia 33 tahun serta keluarganya kerana menuduh dia mengambil dadah.
"Isteri suspek telah menerima rawatan di Hospital Seri Manjung dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan kira-kira jam 12.20 tengah hari tadi.
"Bedah siasat akan dijalankan esok bagi mengetahui punca kematian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohamed Nordin, polis telah menahan suspek sekitar jam 11 malam tadi di sebuah restoran di Lumut.
Katanya, suspek kemudian dibawa ke Mahkamah Majistret Seri Manjung hari ini bagi permohonan reman selama tujuh hari sehingga 18 Julai bagi siasatan lanjut.
"Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati," katanya.
#bakar isteri #suami bakar isteri #manjung #Dadah
;