Wanita maut dalam kebakaran di Garden Tour Apartment

Bernama
Julai 27, 2024 23:10 MYT
Kebakaran itu melibatkan satu unit rumah di aras paling bawah dan tidak melibatkan unit lain. - Foto JBPM
KUALA LUMPUR: Wanita maut manakala seorang lelaki melecur di bahagian tangan kanan dalam kebakaran sebuah unit rumah di aras bawah flat lima tingkat di Garden Tour Apartment Jalan Maju 1/11, Taman Lembah Maju, Ampang di sini malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata wanita tempatan berusia 28 tahun itu maut akibat badannya melecur kira-kira 80 peratus.
"Pihak kami menerima panggilan kecemasan pada 9.46 malam dan sepasukan 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah bergegas ke lokasi kejadian.
"Lelaki yang cedera dihantar ke Hospital Ampang dengan jentera EMRS manakala mangsa wanita telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan," katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Komander Operasi Amran Muda ketika dihubungi Bernama memaklumkan kebakaran itu melibatkan satu unit rumah di aras paling bawah dan tidak melibatkan unit lain.
"Kedua-dua mangsa dipercayai ahli keluarga namun butiran lengkap masih belum diperoleh," katanya.
-- BERNAMA
#kebakaran #meninggal dunia #Garden Tour Apartment #JBPM