Wanita maut, anak parah dalam kemalangan di Pasir Puteh
Bernama
Julai 22, 2024 17:18 MYT
Julai 22, 2024 17:18 MYT
KOTA BHARU: Seorang wanita maut manakala anak perempuannya yang berusia tiga tahun cedera parah selepas kereta Perodua Viva dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Corolla Cross di Jalan Machang, Pasir Puteh, Kampung Kandis, pagi tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh Muhamad Deri Wahab berkata pihaknya menerima panggilan berkaitan kemalangan itu pada 6.56 pagi dan sembilan anggota bomba tiba di lokasi kejadian pada 7.11 pagi.
Beliau berkata mangsa, Nur Faralysa Aisyah Mohd Hasif, 34, tersepit di kerusi pemandu dan berjaya dikeluarkan dari kenderaan oleh anggota bomba, namun disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan di lokasi kejadian.
"Anak mangsa cedera parah di bahagian kepala manakala seorang lagi wanita yang juga adik ipar mangsa patah kaki kanan.
"Pemandu SUV iaitu seorang doktor yang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Jeli hanya cedera ringan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhamad Deri berkata mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh manakala mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
-- BERNAMA