Wanita maut, 7 cedera nahas 4 kenderaan

Astro Awani
Oktober 17, 2022 22:15 MYT
Kemalangan jam 8 malam itu melibatkan sebuah Perodua Bezza, Proton Persona, Proton Saga dan pacuan empat roda Mitsubishi Triton. - Gambar/ JBPM
TEMERLOH: Seorang wanita maut dan tujuh lagi cedera dalam nahas melibatkan empat kenderaan di Jalan Utama Felda Jengka 19, dekat sini, malam tadi.
Dalam kejadian tersebut, mangsa maut ialah seorang wanita dewasa, dua lagi tersepit dalam kenderaan iaitu seorang lelaki dan wanita dewasa, manakala lima lelaki dewasa turut cedera.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jengka, Mohd Nazri Abd Rafar, berkata kemalangan jam 8 malam itu melibatkan sebuah Perodua Bezza, Proton Persona, Proton Saga, dan pacuan empat roda Mitsubishi Triton.
Katanya, sejurus menerima panggilan kecemasan, tujuh anggota dan sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian.
"Terdapat seorang wanita dewasa meninggal dunia di tempat kejadian yang disahkan oleh kakitangan perubatan. Manakala seorang wanita dewasa dan lelaki dewasa tersepit dalam kejadian itu.
"Anggota Bomba dan Penyelamat mengeluarkan mangsa tersepit dengan menggunakan peralatan khas dan dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh.
"Mangsa yang meninggal diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.
#kemalangan maut #Jengka #kemalangan empat kenderaan #JBPM