Wanita mati dipukul, polis tahan suami
Bernama
Februari 12, 2019 05:12 MYT
Februari 12, 2019 05:12 MYT
Seorang wanita Myanmar meninggal dunia semasa menerima rawatan di Wad Kecemasan Hospital Sultanah Nora Ismail di sini, dipercayai akibat dipukul oleh suaminya dalam satu pertengkaran yang berpunca daripada cemburu.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Azhan Abdul Halim berkata berdasarkan siasatan awal, kejadian dipercayai bermula dengan pertengkaran suami isteri pasangan Myanmar itu pada kira-kira pukul 9.00 pagi di sebuah rumah kedai di Taman Soga di sini.
Beliau berkata wanita berumur 25 tahun itu berada dalam keadaan tidak bermaya di samping mengalami kecederaan di beberapa anggota badannya dipercayai akibat dipukul dengan objek tumpul, semasa dihantar ke hospital.
"Dia kemudiannya disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan, lalu pihak hospital terus menghubungi polis," kata beliau ketika dihubungi di sini pada Selasa.
Menurutnya terdahulu wanita yang hampir setahun berkahwin dengan suaminya itu dikatakan keluar bersama seorang lelaki dan terserempak dengan suaminya.
"Kemudiannya berlaku pertengkaran antara pasangan ini sehingga si suami bertindak memukul isterinya di rumah kedai tempat pasangan suami isteri ini bekerja," katanya dan menambah kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
#Batu Pahat
#cemburu
#dipukul suami
#Hospital
#keluar dengan lelaki lain
#meninggal dunia
#Myanmar
#objek tumpul
#pertengkaran
#polis
#pukul
#rawatan
#rumah kedai
#siasatan
#suami isteri
#Taman Soga