Wanita M'sia ditahan bawa enam jongkong emas di Dhaka
Bernama
Oktober 29, 2014 17:43 MYT
Oktober 29, 2014 17:43 MYT
Seorang wanita rakyat Malaysia yang membawa enam jongkong emas ditahan pegawai penguatkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal, Dhaka di Bangladesh, menurut satu laporan.
Bangladesh bdnews24.com melaporkan bahawa wanita berusia 53 tahun itu ditahan setelah melalui laluan hijau sekitar tengah hari pada Selasa.
Menurut laporan itu, pemeriksaan telah dilakukan susulan perlakuannya yang mencurigakan dengan melihat kepada cara dia berjalan.
Hasil pemeriksaan menunjukkan dia menyeludup masuk enam jongkong emas seberat satu kilogram setiap satu.
Laporan itu memetik Penolong Penguasa Batalion Polis Tentera Nur-e Alam Siddique sebagai berkata, wanita itu datang ke Bangladesh menaiki penerbangan Malaysia Airlines jam 11 pagi.
"Dia tidak pernah datang ke Bangladesh sebelum ini, merujuk kepada butiran perjalanan dalam pasportnya. Dia juga tidak fasih berbahasa Inggeris, jadi kami tidak dapat memastikan lagi destinasinya di Bangladesh," katanya.
Tindakan undang-undang sedang dijalankan ke atas wanita itu, kata akhbar dalam talian yang memetik kenyataan Penolong Pesuruhjaya Kastam, Jewela Khanam.