Wanita lemas ketika selam skuba di Pulau Tenggol

Sinar Harian
September 22, 2024 13:30 MYT
Mangsa yang berusia 33 tahun disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Dungun untuk mendapatkan rawatan. - Gambar hiasan
DUNGUN: Seorang wanita ditemukan lemas ketika melakukan aktiviti penyelaman di Pulau Tenggol, di sini, pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, mangsa yang berusia 33 tahun berasal dari Cheras, Kuala Lumpur itu disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Dungun untuk mendapatkan rawatan.
"Sebelum kejadian, mangsa bersama 28 penyelam lain melakukan aktiviti selam skuba bersama dua petugas ‘guide diving’ kira-kira jam 9 pagi.
"Namun selepas semua penyelam naik semula ke permukaan air, mangsa didapati tidak timbul dan dua orang petugas itu telah menyelam semula mencari mangsa.
"Mangsa kemudiannya dijumpai terdampar di dasar laut dan telah dibawa ke pantai untuk diberikan bantuan pernafasan (CPR),” katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
Mengulas lanjut, Maizura berkata, mangsa dikejarkan ke Hospital Dungun namun disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.
"Mayat mangsa telah dibawa ke unit forensik hospital itu untuk tindakan lanjut," ujarnya. - Sinar Harian
#penyelam lemas #selam skuba #Pulau Tenggol #kes lemas
;