Wanita lari daripada serbuan polis ditemui mati lemas

Mohamad Zalani Atan
Januari 22, 2023 14:13 MYT
Mayat mangsa berusia 42 tahun itu ditemui pada jam 11.36 pagi tadi dalam keadaan terapung oleh pasukan penyelam dari Unit Selam PPDA JBPM Pahang. - Gambar hiasan
KUANTAN: Seorang wanita yang melarikan diri daripada serbuan polis pada Sabtu (21 Januari), ditemui mati lemas selepas dia didapati nekad terjun ke Sungai Belat dekat Jeti Tanjung Punai, Kuantan.
Mayat mangsa berusia 42 tahun itu ditemui pada jam 11.36 pagi tadi dalam keadaan terapung oleh pasukan penyelam dari Unit Selam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang.
Ketua Balai Bomba Kuantan, Timbalan Penguasa Bomba, Kamerul Bieza Mohamed Kassim berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari kedua melibatkan 20 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan, Unit K9 JBPM bersama 10 anggota dan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.
Menurut Kamerul Bieza, dua ekor anjing Unit K9 turut membantu dalam operasi tersebut dengan memberi petunjuk lokasi mangsa.
“Operasi pada hari ini kita mulakan seawal pagi pada pukul 8 pagi, dengan turut melibatkan dua ekor anjing dari Unit K9. Berpandukan kepada petunjuk, pihak SAR telah menumpukan kepada kawasan yang telah ditunjukkan oleh (anjing) K9 itu dan kita berjaya menemui mangsa lebih kurang 10 meter dari tempat mangsa dilaporkan jatuh,” ujar beliau.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisioner Wan Zahari Wan Busu memaklumkan, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Pahang telah menjalankan operasi Op Tapis di sepanjang tambatan banjir di tepi Sungai Belat, Batu 3 pada Sabtu.
Dalam operasi bermula jam 6 petang hingga 8 malam itu, seramai enam pengedar dan penagih dadah berjaya diberkas.
#wanita lemas #serbuan #Dadah #polis #JBPM #unit k9
;