Wanita kurang siuman tikam pemandu bas Rapid Penang ditahan

Muhafandi Muhamad
Oktober 7, 2014 18:11 MYT
Wanita kurang siuman tikam pemandu bas Rapid Penang ditahan
Seorang wanita dari Paya Terubong, Pulau Pinang yang disahkan sebagai suspek utama dalam kejadian menikam pemandu bas Rapid Penang semalam ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Mahkamah Majistret Georgetown mengeluarkan perintah tahanan reman bagi membolehkan polis meneruskan siasatan.
Suspek sebelum itu dibawa ke mahkamah berkenaan pada jam 2 petang untuk prosiding reman.
Terdahulu suspek berusia 48 tahun yang dipercayai kurang siuman itu ditahan sepasukan polis ketika menaiki bas Rapid Penang dari rumahnya jam 7.30 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Farid Alatrash Wahid berkata polis turut merampas sebilah pisau berukuran 8.5cm yang disimpan dalam beg tangan suspek, yang disyaki kurang siuman.
Beliau berkata polis turut merampas sebilah pisau berukuran 8.5 cm yang digunakan oleh suspek dalam kejadian jam 7 pagi semalam.
“Kita memang merancang untuk manahan dia pagi ini bersama dengan pemandu bas Rapid. Kita benarkan dia naik bas tu dulu dan lepas tu kita tahan dia. Semasa kita menahan wanita tersebut dia tidak agresif dan bila kita buat pemeriksaan kita jumpa pisau yang digunakan dalam kejadian menikam pemandu bas Rapid tersebut. Pisau tu dalam beg dia lah memang kalau ikut daripada soal siasat dijalankan memang pisau tu selalu dibawa dalam beg dia lah pisau pemotong sayur.” Ulas Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Farid Alatrash Wahid.
Menurut beliau lagi, ketika kejadian tiada penumpang lain dalam bas berkenaan dan tiada kamera litar tertutup (CCTV) dalam kenderaan tersebut.
Kes disiasat dibawah Seksyen 324 Kanun Acara Jenayah kerana sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata merbahaya.
Dalam kejadian pagi semalam, mangsa Aisyamudin Yaacob, 27 tahun yang baru bertugas selama dua bulan bersama syarikat pengangkutan awam tersebut, cedera parah apabila ditikam tiga kali di paha oleh wanita berkenaan.
Difahamkan suspek berbuat demikian kerana tidak berpuas hati kerana mangsa menghentikan bas di perhentian bas dan enggan berhenti di lokasi yang dimahukan wanita itu.
Suspek yang berang telah memarahi mangsa sebelum mengeluarkan pisau dan menikamnya sebelum melarikan diri.
#bas #Penang #pulau pinang #RAPID