Wanita khayal lari sekatan jalan raya di Lawas ditahan polis

Astro Awani
Februari 23, 2021 16:45 MYT
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail memaklumkan siasatan awal mendapati wanita berkenaan memandu dalam keadaan khayal. - Foto Astro AWANI
LAWAS: Polis menahan seorang wanita yang memandu dalam keadaan berbahaya ketika merentas sempadan Brunei-Lawas di pekan Lawas pada Selasa.
Wanita yang memandu kenderaan bernombor pendaftaran negara jiran itu tidak memberhentikan kenderaannya ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) di Lawas dan terus memecut sebelum dikejar pihak polis.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail mengesahkan kejadian itu ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
“Walaupun kenderaan dipandunya berjaya dihentikan di satu lokasi namun pemandu yang tetap berdegil itu cuba bertindak untuk memecut kenderaannya.
“Ini memaksa pihak polis menembak tayar bahagian depan kenderaan bagi menghalangnya melarikan diri,” katanya.
Menurut Aidi, siasatan awal mendapati wanita itu memandu dalam keadaan khayal.
Bagaimanapun pihaknya masih menunggu laporan penuh dari Ibu Pejabat Polis Daerah Lawas dan pemandu tersebut kini ditahan untuk siasatan lanjut.
Terdahulu tular di media sosial sebuah kenderaan dihentikan anggota polis trafik di pekan Lawas dipercayai cuba untuk melarikan diri.
Turut kedengaran bunyi beberapa das tembakan dilepaskan ke arah tayar kenderaan bagi menghalang pergerakan kenderaan berkenaan.
#wanita khayal #Polis Lawas #memandu secara merbahaya #sempadan Brunei - Lawas #Datuk Aidi Ismail #Tular
;