Wanita kerugian lebih RM100,000 ditipu sindiket Macau Scam

Adie Sufian Zulkefli
Oktober 7, 2020 15:27 MYT
Mangsa menerima panggilan pada 20 September lalu daripada seorang individu bernama Razali yang menyamar sebagai pekerja Pejabat Pos Kuala Lumpur.
ALOR SETAR: Seorang wanita yang juga pekerja swasta berusia 35 tahun kerugian RM106,500 selepas ditipu Macau Scam bulan lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, mangsa menerima panggilan pada 20 September lalu daripada seorang individu bernama Razali yang menyamar sebagai pekerja Pejabat Pos Kuala Lumpur.
Beliau berkata, lelaki itu memaklumkan mangsa menghantar barang seperti Mykad dan lapan kad mesin juruwang automatik (ATM) bank dari Alor Setar.
"Suspek turut memaklumkan mangsa didapati terbabit dengan pengubahan wang haram dan dadah selepas melakukan semakan Mykad mangsa.
"Bagaimanapun, mangsa menafikan tuduhan itu namun talian itu disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban dan mangsa diminta menghubungi talian 999 untuk membuat laporan polis secara dalam talian kerana ia kes berat," katanya dalam kenyataan media.
Elias berkata, mangsa kemudian menurut arahan itu dan menghubungi talian 999 sebelum bercakap dengan Koperal Zulhanif dari IPK Seremban.
"Selepas itu, mangsa dapat berhubung dengan koperal berkenaan dan kemudiannya panggilan itu disambung kepada Sarjan Azwan Mustapha.
"Mangsa diarahkan ke IPD Seremban dalam masa dua jam, jika tidak mangsa akan dihantar waran tangkap kerana tidak memperbaharui cukai jalan kereta dan motosikal mangsa," jelas beliau lagi.
BACA: Macau Scam: Baca ini kalau tak nak ditipu!
BACA: SPRM tahan dua pegawai polis kes judi, Macau Scam
Elias berkata, mangsa kemudian diminta membuat rayuan kepada pegawai atasan sekiranya tidak dapat menghadirkan diri ke IPD Seremban dalam tempoh itu.
Katanya, panggilan mangsa kemudian disambungkan ke IPD Seremban dan berhubung dengan seorang wanita dikenali sebagai Puan Maria iaitu pegawai atasan polis di situ untuk membuat rayuan pegawai atasan.
Suspek kemudian mengarahkan mangsa untuk memindahkan wang ke dalam akaun yang diberikan supaya perlindungan insuran dapat dibuat.
Namun pada 29 September lalu hingga 1 Oktober lalu, mangsa memasukkan wang sebanyak RM106,500 ke dalam dua akaun CIMB secara berperingkat.
Elias berkata, kesemua wang itu adalah dari wang simpanan Tabung Haji dan simpanan bank mangsa sendiri.
Bagaimanapun mangsa menyedari diperdaya oleh suspek selepas menceritakan kepada ahli keluarganya pada 1 Oktober lalu.
Mangsa Kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Petani pada 1 Oktober lalu jam 1.54 petang.
Satu kertas siasatan dibuka untuk kes itu dan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
"Saya ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan sindiket ini serta jangan mudah menyerahkan maklumat peribadi secara dalam talian. Buat semakan dengan pihak polis sekiranya ada menerima sebarang panggilan telefon untuk pengesahan," katanya.
#wanita kerugian #RM100 000 #Macau Scam #pekerja swasta #pengubahan wang haram #Alor Setar
;