Wanita keldai akaun ditahan sebabkan kerugian RM38,000

Bernama
Oktober 26, 2023 10:10 MYT
Wanita berusia 49 tahun itu ditahan hasil risikan dan initipan yang dijalankan polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Barat Daya.
BALIK PULAU: Seorang wanita ditahan polis kerana dipercayai menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan sehingga menyebabkan mangsa kerugian RM38,000 dalam serbuan di Kulim, Kedah, kelmarin.
Menurut kenyataan Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, wanita berusia 49 tahun itu ditahan hasil risikan dan initipan yang dijalankan polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Barat Daya.
"Berdasarkan siasatan awal, wanita itu disyaki menjadi 'keldai akaun' sindiket tawaran hadiah dan barang berharga dari luar negara dan ditahan bagi membantu siasatan melibatkan kes yang dilaporkan pada tahun 2018.
"Suspek dipercayai telah menyerahkan kad bank dan butir-butir perbankan peribadi kepada individu lain melalui dalam talian untuk dipinjamkan pada tahun 2018 dan siasatan polis mendapati mangsa kerugian sebanyak RM 38,000 dalam kes membabitkan wanita itu," menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu wanita tersebut direman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Sementara itu, dalam kes berasingan, Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Soffian Santong berkata polis menahan tiga lelaki tempatan berusia 22 hingga 26 tahun kerana disyaki terlibat dalam dua kes curi beg berjenama di pusat membeli belah di Persiaran Gurney, George Town pada 10 dan 21 Okt lepas.
Katanya, semua lelaki yang tidak bekerja itu ditahan jam11.59 malam Selasa di tepi Jalan Permatang Damar Laut, Batu Maung, dekat sini, bagi membantu siasatan kes tersebut.
"Pihak polis menerima laporan berhubung kejadian kecurian dua buah beg berjenama bernilai RM 2,989 dan hasil risikan serta siasatan kami menahan tiga lelaki tersebut yang dipercayai terlibat dalam kes itu," katanya.
Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, seorang daripada dua lelaki itu mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah manakala dua lagi positif dadah.
Katanya, semua mereka direman selama empat hari bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
#keldai akaun #sindiket penipuan #mangsa penipuan #polis