Wanita Kelantan derma rantai, gelang emas demi Palestin
Bernama
Oktober 30, 2024 21:31 MYT
Oktober 30, 2024 21:31 MYT
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan hari ini melancarkan Projek 'Emas Untuk Palestin' khusus untuk golongan wanita di negeri itu mengumpulkan dana bagi membantu rakyat Palestin yang terus berdepan serangan dan penindasan rejim Israel.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri Rohani Ibrahim berkata projek pertama kali dilancarkan itu menandakan kecaknaan rakyat Kelantan terhadap nasib rakyat Palestin yang merentas agama, kaum dan keturunan.
"Golongan wanita di negeri ini mendermakan barangan kemas mereka seperti cincin, loket, gelang dan rantai emas yang telah terkumpul sebanyak 592.59 gram dianggar bernilai RM238,000 serta wang tunai RM23,643 untuk bersolidariti bersama saudara seagama di Palestin.
"Emas sinonim dengan wanita, sebab itu program khas ini dilancarkan dan semua sumbangan tersebut diterima daripada pertubuhan bukan kerajaan serta individu," katanya kepada pemberita pada sambutan Hari Sayyidatina Khadijah 2024 yang dirasmikan Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Dr Mohd Amar Nik Abdullah di sini hari ini.
-- BERNAMA