Wanita ke tirai besi, 21 tahun guna kad pengenalan palsu

Shuhada Abdul Kadir
Jun 13, 2022 12:58 MYT
Elenita Maisog dijatuhi hukuman penjara tiga bulan kerana didapati tanpa kuasa yang sah dan sebab munasabah telah memiliki kad pengenalan palsu atas nama Nuria Rahman yang beralamat di Sungai Udang, Melaka. - Gambar Astro AWANI
AYER KEROH: Tindakan seorang ibu tunggal tiga anak warga Filipina menggunakan kad pengenalan palsu sejak lebih 20 tahun lalu membawa padah apabila dijatuhi hukuman penjara tiga bulan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini
Tertuduh, Elenita Maisog, 51, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nabiha Mohd Noor.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati tanpa kuasa yang sah dan sebab munasabah telah memiliki kad pengenalan palsu atas nama Nuria Rahman yang beralamat di Sungai Udang, Melaka.
Kesalahan itu dikesan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri Melaka pada pukul 3 petang, 9 Jun 2022 lalu.
Justeru, tertuduh didakwa mengikut peraturan 25(1)(e) Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan boleh dihukum di bawah peraturan yang sama.
Bagi kesalahan itu, tertuduh yang bekerja sebagai pembantu kantin sekolah berdepan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksima RM 20,000 atau kedua-duanya sekali.
Mengikut fakta kes, hasil semakan nombor kad pengenalan berkenaan merujuk kepada individu bernama ‘Sapina’ dan tertuduh mengaku nama sebenarnya adalah Elenita Maisog dan berasal dari Misamis Occidental, Filipina.
Difahamkan, tindakan itu dikesan selepas tertuduh tampil ke pejabat JPN Melaka bagi proses pendaftaran tiga anaknya.
Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN Ahmad Amirul Ahmad Jamal memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh dengan mengambil kira wanita itu sudah menggunakan kad pengenalan berkenaan sejak 21 tahun yang lalu.
Beliau turut memohon tertuduh diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen selepas selesai tempoh pemenjaraan bagi tujuan pengusiran.
Nabiha pada penghakimannya kemudian menetapkan hukuman penjara tiga bulan dari tarikh ditangkap pada 9 Jun 2022 lalu.
Tertuduh tidak diwakili peguam.
#Kad pengenalan palsu #warga filipina #ibu tunggal #wanita ke tirai besi
;