Wanita Jepun maut jatuh kondominium di Subang Jaya
Bernama
Februari 28, 2025 23:31 MYT
Februari 28, 2025 23:31 MYT
Seorang wanita warga Jepun maut selepas terjatuh dari tingkat empat sebuah kondominium di SS16, Subang Jaya, pagi tadi.
KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga Jepun maut selepas terjatuh dari tingkat empat sebuah kondominium di SS16, Subang Jaya, dekat sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata mangsa berusia 50-an ditemui meninggal dunia dalam keadaan meniarap di atas tanah oleh anggota polis peronda yang ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan MERS 999.
Beliau berkata pemeriksaan awal pada tubuh mangsa dan tempat kejadian mendapati tiada sebarang kecederaan daripada perlakuan jenayah.
"Hasil siasatan lanjut mendapati mangsa merupakan suri rumah sepenuh masa dan telah menetap di Malaysia kira-kira 14 tahun. Keluarga mangsa telah dimaklumkan dan mayat wanita itu akan diserahkan kepada suaminya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Azlan berkata kes disiasat sebagai mati mengejut dan bedah siasat akan dijalankan bagi menentukan punca kematian.
-- BERNAMA