Wanita jatuh tingkat 12 hotel di Inanam
Ruzaini Zulkepli
Februari 15, 2019 17:26 MYT
Februari 15, 2019 17:26 MYT
Seorang wanita yang disyaki mengalami gangguan mental ditemui mati selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 12 sebuah hotel di kawasan Inanam Taipan, Inanam, pada Jumaat.
Dalam kejadian jam 10.32 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Ivy Tan Kui, 47, meninggal dunia di lokasi selepas mengalami kecederaan parah pada anggota badan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, sejurus selepas menerima maklumat orang awam berhubung kejadian itu, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan.
"Pihak polis menerima maklumat daripada orang ramai mengenai kejadian seorang wanita terjatuh daripada bangunan 12 tingkat di kawasan Inanam Taipan, Inanam pada jam lebih kurang jam 10.32 pagi.
"Siasatan pihak polis mendapati, mangsa adalah seorang wanita tempatan berusia 47 tahun telah terjatuh dari bangunan setinggi 12 tingkat dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Hospital Likas pada jam 10.57 pagi hari yang sama," katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa yang berasal dari Luyang, Kota Kinabalu sudah dibawa ke hospital berdekatan untuk tindakan lanjut.
"Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) dan kes disiasat sebagai mati mengejut," katanya.
#Hospital
#Inanam
#Ivy Tan Kui
#jatuh bangunan
#Kota Kinabalu
#meninggal dunia
#polis
#Wanita jatuh bangunan
#Wanita jatuh hotel