Wanita jamah mi segera minta netizen hentikan kecaman, cemuhan
Sinar Harian
Mei 7, 2022 12:30 MYT
Mei 7, 2022 12:30 MYT
KUALA SELANGOR: Wanita yang tular menjamah mi segera bersama suami dan anak-anaknya pada pagi raya pertama Aidilfitri meminta pengguna media sosial menghentikan segala kecaman dan cemuhan terhadap mereka sekeluarga.
Norazizah Chon, 48, berkata, tohmahan dilemparkan netizen berhubung isu yang tular di media sosial sejak Khamis lalu itu hanya mengundang tekanan emosi dan membebankan fikiran mereka lebih-lebih lagi ketika umat Islam sedang meraikan Aidilfitri ini.
"Saya tidak menyangka perkara ini (menjamah mi segera) boleh menimbulkan salah faham masyarakat sedangkan hanya berkongsi kisah di pagi hari raya.
"Saya mohon kepada anda semua tolonglah doakan baik-baik sahaja dan baca cerita sebenar sampai habis dan bukan hanya membaca tajuk semata-mata," katanya pada Sabtu.
Menurut Norazizah, pelbagai tohmahan dilemparkan terhadap mereka sekeluarga di ruangan komen dan perkongsian isu itu di media sosial.
"Saya malu dan berasa sedih apabila menerima kecaman daripada netizen kerana ramai rakan bertanya tentang kebenaran di sebalik cerita itu.
"Sejujurnya saya hanya berkongsi perasaan apabila ditanya wartawan tentang pengalaman menarik di pagi Syawal dan tidak menyangka cerita terbabit tular yang mengundang cemuhan netizen.
"Di bulan mulia ini, saya memohon maaf jika perkongsian ini menyebabkan netizen tidak puas hati dan berharap mereka hentikanlah kecaman berterusan," ujarnya.
Katanya, lebih menyedihkan apabila kecaman itu berlaku selepas abangnya, Mohd Helni Chon, 66, baharu sahaja meninggal dunia pada Isnin lalu.
"Saya harap netizen faham dalam situasi saya masih bersedih selepas kehilangan abang, timbul pula isu tular ini yang sudah tentu memberi tekanan kepada kami sekeluarga," ujarnya.
Justeru tegasnya, mana-mana pihak yang memuat naik isu itu dan perkongsian di media sosial dengan niat mencemuh dan fitnah diminta memadam semula status terbabit.
.
Katanya, laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan dilakukan sekiranya masih terdapat individu berterusan mengecam dan memfitnah di media sosial.
"Saya sudah berbincang bersama keluarga dan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang cuba memanipulasi cerita terbabit," jelasnya.
5 Mei lalu media melaporkan enam beranak menjamah mi segera pada 1 Syawal lalu berikutan Aidilfitri disambut sehari awal pada Isnin.
Norazizah berkata, perancangan awal membeli barangan basah seperti daging dan ayam pada pagi Isnin, namun segalanya berubah apabila pengumuman Aidilfitri sehari awal.
Katanya, pada mulanya dia bercadang menyediakan menu kari daging, rendang ayam dan lontong selain berkongsi juadah bersama jiran tetangga bagi menyambut lebaran pada tahun ini.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.