Wanita Indonesia maut selepas bersalin di rumah

Sinar Harian
Februari 1, 2023 08:40 MYT
Wanita warga Indonesia maut selepas bersalin di rumahnya di Kampung Perigi Jernih, Padang Lebar di Rembau pada petang Selasa. - Gambar hiasan
REMBAU: Seorang wanita warganegara Indonesia disahkan meninggal dunia selepas melahirkan anak secara sendiri di sebuah rumah di Kampung Perigi Jernih, Padang Lebar di sini pada petang Selasa.
Ketua Polis daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, suaminya warga Indonesia berusia 33 tahun mendapati isterinya, 32, tidak sedarkan diri selepas melahirkan anak ketiga mereka di rumah berkenaan kira-kira jam 3 petang.
"Pada jam 6 petang, pihak Klinik Kesihatan Rembau telah datang untuk melihat keadaan isterinya dan mengesahkan isterinya meninggal dunia.
"Mayatnya telah dibawa ke Forensik Hospital Rembau untuk di tujuan bedah siasat pada hari esok (Rabu), manakala bayi perempuan dilahirkan dalam keadaan selamat," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Ujarnya, bayi berkenaan seterusnya ditempatkan di unit jagaan bayi di hospital sama.
"Suaminya kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada jam 8.20 malam Selasa.
"Berdasarkan siasatan, suaminya bekerja sebagai buruh binaan, manakala isterinya seorang suri rumah dan mempunyai dua lagi anaknya yang turut tinggal di rumah berkenaan.
"Bagaimanapun hasil siasatan lanjut mendapati kedua-duanya tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah di negara ini dan siasatan lanjut masih diteruskan," katanya. - Sinar Harian
#warga asing #bersalin #melahirkan anak #Klinik Kesihatan Rembau
;