Wanita Indonesia ditemui mati dengan tangan berikat

Astro Awani
Januari 1, 2019 10:21 MYT
Mayat dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan kes disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Gambar hiasan
Seorang wanita warga Indonesia ditemui mati dalam keadaan separuh bogel, tangan diikat dan mulut disumbat kain di sebuah rumah di Jalan Reko, Kajang dekat sini pada Isnin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Supt Mohd Sabri Abdullah berkata mayat wanita berusia lingkungan 30-an itu ditemui majikannya yang datang ke rumah mangsa selepas dia tidak hadir bekerja selama tiga hari.
"Penemuan mayat itu dilaporkan oleh majikannya pada 6.24 petang semalam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Sabri, wanita itu bekerja di sebuah kedai perabot dan kali terakhir dilihat pada malam Khamis.
Mayat dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan kes disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, katanya.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil menghubungi pegawai penyiasat ASP Ismail Ahmad menerusi talian 019-2306107 untuk membantu siasatan.
#Indonesia #Jalan Reko #Kajang #kedai perabot #majikan #mangsa #mati #mayat #Mohd Sabri Abdullah #polis #siasatan #wanita
;