Wanita Indonesia dicekup bersama dadah di Tawau

Radhi Muslim
Februari 4, 2019 18:10 MYT
Suspek dicekup bersama dadah dalam satu serbuan di Kampung Melati Burut. - Foto PDRM
Seorang wanita warga Indonesia bakal berdepan hukuman mati selepas dicekup bersama dadah dalam satu serbuan di Kampung Melati Burut, dekat Bombalai, di sini pada Isnin.
Dalam kejadian pada kira-kira jam 11 pagi, sebanyak 50.60 gram dadah dirampas bersama suspek berusia 43 tahun itu.
Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komosioner Fadil Marsus berkata, sebaik menerima maklumat, sepasukan anggota polis telah dihantar ke rumah wanita berkenaan.
"Sebaik tiba, anggota memperkenalkan diri dan mengetuk pintu rumah suspek. Suspek keluar dan tiba-tiba melarikan diri selepas mengetahui kehadiran polis.
"Wanita itu dilaporkan lari ke tandas dan membuang sesuatu.
"Pemeriksaan lanjut menemui beg silang yang berisi tiga paket plastik berisi dadah semuanya seberat 50.60g," katanya dalam satu kenyatan, pada Isnin.
Fadil berkata, suspek dan barang rampasan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk tindakan lanjut.
"Nilai anggaran rampasan sebanyak RM4,500 dan kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah," kata beliau.
#Bombalai #Dadah #dicekup #hukuman mati #Kampung Melati Burut #Tawau #wanita warga Indonesia
;