Wanita hidap penyakit kaki membesar, bernanah perlu bantuan
Astro Awani
Jun 18, 2014 09:52 MYT
Jun 18, 2014 09:52 MYT
Seorang wanita di Kuala Nerang, Kedah mengidap penyakit kaki membesar, bernanah serta berbau busuk menderita sejak sekian lama berikutan tidak mempunyai kenderaan untuk memudahkannya bergerak bagi mendapatkan rawatan.
Lebih malang lagi, kesempitan hidup menyebabkan dia tidak mampu untuk menanggung kos perubatan di hospital.
Nooliah Din, 64, mengidap penyakit pelik sejak berusia empat bulan yang menyebabkan kedua-dua belah kakinya bengkak serta berbau busuk.
Beliau tinggal di Kampung Rambutan, Mukim Padang Temak, Kuala Nerang, Kedah bersama seorang anak saudara berusia awal 30an yang mempunyai masalah tekanan perasaan.
Anak saudaranya itu sentiasa berkurung di dalam bilik sejak berusia 12 tahun akibat dilanggar sebuah kenderaan ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah.
Kedua-dua mereka yang dahulunya tinggal di sebuah rumah usang yang hampir roboh dimakan anai-anai bagaimanapun kini mampu menarik nafas lega setelah mendapat sebuah rumah bantuan dari Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) yang didirikan berhadapan rumah lama mereka.
Noorliah sebelum ini pernah menjalani beberapa kali rawatan di Hospital Kuala Nerang namun terhenti kerana tiada kenderaan untuk membawanya ke hospital.
Noorliah yang tidak pernah berkahwin pada mulanya hanya menganggap bengkak di kedua belah kakinya hanya sakit biasa.
Namun bengkak itu semakin membesar serta mengeluarkan nanah yang berbau busuk dari hari ke hari yang menyebabkan kehidupannya menjadi suram tidak seperti rakan-rakan seusianya yang lain.
Noorliah menjelaskan kepada pemberita dia merupakan penerima bantuan RM200 yang diperolehi setiap bulan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Bagaimanapun dengan jumlah sebanyak itu tidak cukup untuknya menampung segala keperluan hidup lebih-lebih lagi apabila dia tidak mampu untuk melakukan sebarang pekerjaan.
Dikhabarkan, selama enam tahun dia hanya menerima sejumlah RM100 bantuan daripada JKM bagaimanapun jumlah itu meningkat sejak setahun lalu selepas dia membuat rayuan mengatakan jumlah RM100 yang diterimanya itu tidak mencukupi.
Sementara itu, anak saudaranya, Mohd Narmizi Abdul Rahim, 33, yang tinggal berhampiran kerap mengunjungi Noorliah bagi bertanyakan khabar.
Narmizi disifatkan sebagai anak saudara yang bertanggungjawab kerana dia akan ke rumah Noorliah selang dua hari bagi menghantar bekalan makanan seperti ikan, sayur mahupun keperluan ubat-ubatan.
Bagaimanapun, Nazrmizi menjelaskan ibu saudaranya itu sering kelihatan murung dan kurang bercakap kerana terpaksa menahan kesakitan terutamanya ketika menghadapi cuaca sejuk.