Wanita hamil maut motosikal dinaiki berlanggar dengan van klinik pergigian

Bernama
Februari 19, 2024 23:06 MYT
Hazri berkata Nana telah dibawa ke Hospital Rembau untuk rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia pada 4.30 petang. - Gambar IPD Rembau
SEREMBAN: Seorang wanita Orang Asli yang hamil empat bulan maut selepas motosikal dinaikinya berlanggar dengan van klinik pergigian di Kilometer 37.8 Seremban-Tampin, Pekan Kota di sini petang tadi.
Ketua Polis Daerah Rembau DSP Hazri Mohamad berkata Nana Toni, 32, cedera parah di kepala manakala anak lelakinya, Norvinsaizul Norsaiful, 3, mengalami luka di kepala.
Beliau berkata motosikal itu ditunggang oleh adik lelaki mangsa berusia 28 tahun yang dipercayai cuai kerana mengubah laluan di simpang jalan sehingga mengakibatkan kenderaan dinaiki mereka berlanggar dengan van terbabit.
"Lelaki itu mengalami luka di bahagian tangan dan kaki... siasatan awal mendapati motosikal itu dalam perjalanan keluar dari arah simpang Klinik Kota menuju ke Pekan Kota dan ketika ia mengubah haluan dari kiri ke kanan jalan, kenderaan itu dilanggar oleh van yang bergerak terus dari arah Seremban menghala ke Tampin," menurutnya dalam kenyataan di sini.
Hazri berkata Nana telah dibawa ke Hospital Rembau untuk rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia pada 4.30 petang dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA
#maut #van klinik pergigian #cedera parah #mengubah haluan
;