Wanita hamil antara 10 ditahan positif dadah
Bernama
November 17, 2019 17:38 MYT
November 17, 2019 17:38 MYT
Seorang wanita hamil bersama suaminya merupakan antara 10 yang ditahan akibat positif dadah dalam operasi Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Besut yang dijalankan awal hari ini.
Ketua Pegawai AADK Besut, Nor Hafizza Mat Zin berkata, wanita berusia 34 tahun yang hamil dua bulan itu ditahan ketika sedang tidur bersama dua anaknya yang berusia satu dan dua tahun di sebuah rumah di Kuala Besut, di sini.
"Suaminya yang berusia 27 tahun pula menyembunyikan diri di belakang pintu di bilik yang sama.
"Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati pasangan suami isteri tersebut positif dadah jenis Methamphetamine dan difahamkan wanita itu menagih dadah sejak 13 tahun lepas manakala suaminya yang juga pembuat bot fiber pula menagih dadah sejak lapan tahun lepas," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Menurut Nor Hafizza operasi tersebut dijalankan pada 12 tengah malam tadi dan berakhir kira-kira 11 pagi tadi di beberapa lokasi di Besut dan semua yang ditahan berusia lingkungan 15 hingga 34 tahun.
Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan 1998) dan Seksyen 8(3)(a) akta yang sama. - BERNAMA