Wanita hadapi tekanan perasaan memandu secara melulu

Sinar Harian
Disember 6, 2021 13:21 MYT
Tangkap layar video polis menahan kereta Perodua Myvi dipandu wanita terbabit. - Foto Sinar Harian
TAMPIN: Seorang wanita yang dipercayai mengalami tekanan perasaan bertindak memandu kereta jenis Perodua Myvi secara melulu di Taman Indah di sini pada Ahad.
Rakaman video kejadian itu turut tular di aplikasi WhatsApp.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tampin, Deputi Superintenden Amiruddien Sariman berkata, polis menerima maklumat daripada penduduk yang menghubungi Bilik Gerakan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin untuk meminta bantuan pada jam 11 pagi.
"Penduduk memaklumkan kereta terbabit bukan saja dipandu secara berbahaya tetapi wanita berkenaan turut membuat bising dengan membunyikan hon.
"Sepasukan polis ke lokasi dan mengambil masa lima minit untuk meminta pemandu terbabit memberhentikan kenderaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Menurutnya, wanita berusia 28 tahun itu kemudian dibawa ke Balai Polis Tampin untuk siasatan lanjut.
Ujarnya, pemeriksaan ujian saringan air kencing mendapati wanita itu negatif dadah dan tidak berada di bawah pengaruh alkohol.
“Berdasarkan keterangan wanita itu memberitahu, dia sedang menghadapi masalah keluarga yang menyebabkannya berada dalam keadaan tertekan.
"Kita telah menghubungi keluarganya dan menasihatkan supaya tidak mengulangi perbuatan itu," katanya.
ARTIKEL ASAL DI SINAR HARIAN
#tekanan perasaan #memandu melulu #Tampin #Perodua Myvi
;