Wanita Filipina antara ditahan miliki ganja mampat bernilai RM85,000

Bernama
Mac 20, 2023 21:12 MYT
Pemeriksaan menemukan 34 ketulan ganja mampat dalam tiga kotak di tempat duduk belakang kenderaan yang dinaiki dua suspek. - Gambar hiasan
GUA MUSANG: Seorang wanita warga Filipina dan seorang lelaki tempatan ditahan kerana memiliki 34 kilogram ketulan ganja mampat bernilai RM85,000 di Kilometer 8, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintenden Sik Choon Foo berkata kedua-dua suspek yang menaiki kenderaan jenis Perodua Axia didapati berada dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan pada 6 petang.
"Pemeriksaan lanjut menemukan 34 ketulan ganja mampat dalam tiga kotak di tempat duduk belakang kenderaan terbabit yang dianggarkan bernilai kira-kira RM85,000.
"Ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki berusia 23 tahun itu positif dadah jenis metamfetamina dan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah manakala wanita berusia 46 tahun itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang hari ini.
Beliau juga berkata ketulan ganja itu dipercayai dibawa masuk dari negara jiran ke Kuala Lumpur dan Lembah Klang melalui Kelantan.
"Kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
-- BERNAMA
#ganja mampat #suspek ditahan #wanita filipina #polis
;