Wanita dua suami: Mahkamah terima sumpah nafi suami pertama lafaz cerai
Sinar Harian
Oktober 8, 2023 12:10 MYT
Oktober 8, 2023 12:10 MYT
TANAH MERAH: Mahkamah Rendah Syariah Tanah Merah di sini pada Ahad menerima sumpah penafian suami pertama bahawa tidak pernah melafazkan cerai terhadap isteri keduanya yang didakwa memiliki dua suami.
Pemilik restoran itu, Rahaman K A Mohamed Jaafar, 47, juga defendan dalam kes pengesahan lafaz cerai itu mengangkat sumpah berserta senaskah al-Quran di hadapan Hakim Ahmad Hariri Mohd Saad.
Ahmad Hariri dalam keputusan itu turut memutuskan Rahaman dan plaintif, Wan Nor Shakirin Wan Abdul Razak, 32, masih sebagai pasangan suami isteri.
“Dengan lafaz sumpah ini, mahkamah memutuskan defendan dan plaintif masih suami isteri yang sah kecuali plaintif hadir semula ke mahkamah dengan bukti baharu,” kata Ahmad Hariri.
Wan Nor Shakirin yang tidak diwakili peguam bagaimanapun tidak hadir pada prosiding angkat sumpah oleh suami pertamanya itu.
Wan Nor Shakirin sebelum ini memberitahu mahkamah Rahaman sudah melafazkan cerai talak tiga ke atasnya namun Rahaman menafikan perkara itu.
Mereka mendirikan rumah tangga pada 2 Januari 2019 di Narathiwat, Thailand dan disahkan mengikut hukum syarak oleh mahkamah tersebut pada 6 Jun lalu serta didaftarkan di Pejabat Agama Jajahan Tanah Merah.
Rahaman bagaimanapun mendapat maklumat daripada pihak Pejabat Agama Shah Alam, Putrajaya bahawa Wan Nor Shakirin sudah berkahwin lagi dengan seorang lelaki lain iaitu Mohd Kamarulazhar Ayob, 42.
Dalam kes berkaitan, susulan itu, Rahaman melalui peguam syarie, Marzuqi Muhamad pada 5 Julai lalu memfailkan tuntutan faraq (pemisahan atau pembubaran) nikah terhadap perkahwinan antara Wan Nor Shakirin dan Mohd Kamarulazhar di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu.
Bagi kes itu, pada 7 Ogos lalu, mahkamah memutuskan perintah faraq nikah sementara terhadap perkahwinan Wan Nor Shakirin dan Mohd Kamarulazhar sehingga kes pengesahan lafaz cerai antara Wan Nor Shakirin serta Rahaman selesai sebelum meneruskan semula kes tuntutan faraq nikah berkenaan.
Mahkamah juga menetapkan 22 Oktober depan untuk satu lagi kes lain membabitkan permohonan cerai yang difailkan oleh Wan Nor Shakirin terhadap Rahaman. - Sinar Harian