Wanita ditindas perlu berani tampil lapor untuk dibantu - Kalsom
Bernama
Mac 6, 2022 05:15 MYT
Mac 6, 2022 05:15 MYT
MELAKA: Golongan wanita yang berhadapan dengan masalah keganasan rumah tangga, seharusnya perlu tampil dan berani untuk melaporkan perkara tersebut bagi membolehkan mereka dibantu, supaya tidak terus ditindas dan keluar daripada belenggu masalah itu.
Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Melaka Datuk Kalsom Nordin berkata dalam tempoh 105 hari sejak memegang portfolio itu, pihaknya menerima pelbagai aduan membabitkan masalah rumah tangga terutamanya membabitkan pasangan beragama Islam.
"Banyak masalah keruntuhan rumah tangga ini terjadi berpunca sikap panas baran, keadaan ekonomi keluarga yang tidak stabil dan sikap cemburu pasangan yang keterlaluan, menyebabkan pergolakan dalam institusi kekeluargaan seterusnya menyebabkan anak-anak menjadi mangsa keadaan.
"Menerusi program bertemu masyarakat pada setiap hari Jumaat, saya banyak terima aduan daripada golongan wanita yang sering menjadi mangsa dipukul, ditinggalkan suami, selain ada yang berkahwin dengan warga asing dan pelbagai lagi, justeru dinasihatkan kepada mereka untuk ke depan, supaya dapat sama-sama mencari jalan penyelesaian," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Terdahulu beliau merasmikan Program Pascaperkahwinan 'Cinta Penghujung Senja' di Bukit Katil yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Che Sukri Che Mat.
Kalsom berkata kerajaan negeri bersama agensi-agensi berkaitan seperti Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), JAIM dan sebagainya akan terus mempergiatkan program-program berkaitan kekeluargaan bagi memperkasakan insitusi berkenaan.
Katanya seiring dengan kemajuan dalam arus pembangunan dan pemodenan pemerkasaan institusi kekeluargaan perlu diberi perhatian, dalam melahirkan masyarakat yang sejahtera dan harmoni, kerana setiap individu bermula daripada didikan dan bimbingan ibu bapa di rumah.
"Setiap agensi berkaitan juga perlu memikirkan bagaimana pendekatan yang perlu diambil untuk menangani masalah yang berlaku dalam masyarakat di samping kita melihat penekanan ilmu agama juga perlu dipupuk dalam kehidupan berkeluarga mengikut syariat Islam," katanya.
-- BERNAMA