Wanita ditendang hingga jatuh sebelum diragut
Sinar Harian
Ogos 14, 2018 18:21 MYT
Ogos 14, 2018 18:21 MYT
Seorang wanita cedera di muka dan tangan selepas diragut ketika menunggang motosikal di depan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Putra, hari ini.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Baling, Mohd Faizol Ab Aziz berkata, mangsa berusia awal 20-an, dalam perjalanan dari arah Baling menghala ke Batu 42, Pulai.
Menurutnya, dua suspek menaiki motosikal mengekorinya sebelum seorang daripadanya menendang mangsa.
"Tiba di lokasi, mangsa ditendang salah seorang suspek hingga terjatuh. Pembonceng motosikal kemudian tarik beg disandang wanita tersebut," katanya.
Beliau berkata, APM segera menghantar anggota ke lokasi sejurus menerima maklumat.
"Empat anggota APM memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum menghantarnya ke Hospital Baling.
"Kes diserahkan kepada pihak polis Baling bagi siasatan lanjut," katanya.
Kes disiasat mengikut 394 Kanun Keseksaan kerana samun yang mendatangkan kecederaan.