Wanita ditemukan mati dibunuh, dibakar tidak hamil - Polis

Abd Razak Mohd Ali
Jun 10, 2022 15:17 MYT
Mior Faridalathrash berkata ia berdasarkan bedah siasat yang dilakukan di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar dan dakwaan bahawa mangsa hamil hanyalah spekulasi disebarkan menerusi media sosial. - Gambar fail
IPOH: Perintah reman terhadap teman lelaki wanita yang ditemukan dalam keadaan terbakar di tepi Sungai Kuala Kangsar, Kampung Talang Hulu, pada Selasa minggu lepas, disambung enam hari lagi sehingga 16 Jun depan.
Ia berikutan beberapa penemuan bukti baharu yang memerlukan siasatan lanjut.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid bagaimanapun menafikan khabar angin yang berlegar di media sosial kononnya mangsa dirogol ataupun mengandung.

"Siasatan masih lagi diteruskan dan kita belum tahu lagi apa motif sebenarnya kejadian ini tetapi kita yakin ada kaitan dengan teman lelaki, yang pertama kita tangkap itu.
"Dari post mortem yang dibuat, tak ada laporan daripada pakar perubatan mengatakan mangsa ni mengandung dan sebagainya. Ini hanya spekulasi yang diadakan oleh orang-orang tertentu di media sosial," katanya.
Beliau ditemui selepas di majlis pembukaan bilik VVIP sebuah restoran popular di Ipoh, pada Jumaat.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Pengusaha Kedai Emas Perak, Datuk Amaluddin Mohamed Ismail; Pengarah Eksekutif Perak Transit Berhad, Datuk Cheong Peak Sooi dan Pengarah Urusan Vanggey, Ahamed Azlanshah Saiful Jaafar Sadiq.
BACA: Polis tahan teman lelaki wanita ditemukan mati dibunuh, dibakar
BACA: Mayat tanpa identiti ditemukan dalam keadaan terbakar di tepi sungai

Pada 31 Mei lalu, polis menerima laporan berhubung penemuan mayat seorang wanita tanpa identiti dalam keadaan terbakar di tepi Sungai Kuala Kangsar, Kampung Talang Hulu.

Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa telah mati dibunuh dan dibakar di lokasi sama.

Polis turut menjumpai seketul batu konkrit dengan kesan darah berhampiran mayat, yang dipercayai senjata digunakan untuk mencederakan kepala wanita itu.

Hasil bedah siasat ke atas mayat mangsa, didapati punca kematian adalah hentakan di kepala dengan kesan melecur yang teruk.

Minggu lepas, Mahkamah Majistret Kuala Kangsar membenarkan teman lelaki mangsa yang berusia 20 tahun ditahan reman seminggu sehingga hari ini.

Polis turut menahan empat orang lagi bagi membantu siasatan dan reman ke empat-empat mereka akan berakhir 13 Jun ini.
#wanita dibakar #Kuala Kangsar #wanita dibunuh #polis perak
;