Wanita ditemui meninggal dunia atas sejadah

Adie Sufian Zulkefli
Mac 31, 2024 11:40 MYT
Mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri terbaring di atas sejadah di bahagian ruang tamu rumah. - Foto BBP Alor Setar
ALOR SETAR: Seorang wanita ditemukan meninggal dunia di atas sejadah di dalam rumahnya di Taman Inang, di sini pada Sabtu malam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba Ahmad Naufal Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung insiden mangsa terperangkap dalam rumah pada jam 8.46 malam.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Alor Setar yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Zulkifli Md Esa tiba di lokasi bersama 11 anggota tidak lama kemudian.
"Sebaik tiba di lokasi, terdapat mangsa dalam rumah berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri terbaring di atas sejadah di bahagian ruang tamu rumah.
“Tindakan anggota Bomba adalah dengan memecahkan pintu menggunakan peralatan khas.
"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tiba di lokasi tidak lama kemudian.
“Siasatan awal mendapti wanita itu dipercayai terperangkap dalam rumah yang berkunci dalam keadaan tidak sedarkan diri," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Ahmad Naufal berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
#wanita #meninggal dunia #Sejadah #terperangkap
;