Wanita ditemui mati dipercayai terjatuh dari jambatan di Putrajaya
Bernama
Mei 10, 2020 16:06 MYT
Mei 10, 2020 16:06 MYT
Seorang wanita tempatan ditemui mati di bawah jambatan di Presint 2 di sini malam semalam setelah dipercayai terjatuh dari jambatan tersebut.
Seorang saksi awam yang berada berhampiran jambatan berkenaan mendakwa terdengar bunyi seperti benda jatuh dari jambatan berkenaan pada kira-kira 10 malam, sebelum menemui seorang wanita dalam keadaan terbaring di bawah jambatan berkenaan ketika cuba untuk memeriksa bunyi berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Putrajaya Supt S Vijaya Rao ketika dihubungi hari ini mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung insiden berkenaan dan berdasarkan dokumen yang ditemui pada wanita berkenaan, mendapati dia berumur 23 tahun dan berasal dari Banting, Selangor.
Menurutnya, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Mayat telah dibawa ke Hospital Putrajaya untuk dibedah siasat.
-- BERNAMA