Wanita ditemui mati dengan kesan tetakan di bilik hotel
Astro Awani
Februari 6, 2018 22:59 MYT
Februari 6, 2018 22:59 MYT
Kemusykilan pihak pengurusan sebuah hotel di Balakong di sini tentang seorang wanita yang tidak mendaftar keluar dari bilik penginapannya, terjawab apabila penginap itu ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah.
Mayat wanita yang belum dikenal pasti identiti itu juga terdapat beberapa kesan tetakan di kepala.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, pihak hotel menghubungi pihak polis jam 2.10 petang tadi selepas mendapati bilik salah seorang pelanggannya yang sepatut mendaftar keluar tidak berbuat demikian.
Sepasukan anggota polis bersama pengurusan hotel kemudian memecah pintu bilik berkenaan dan mendapati mayat wanita berkenaan terbaring di atas katil dengan keadaan mengerikan.
“Pihak hotel telah membuka pintu bilik berkenaan dan mendapati wanita itu dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah.
“Terdapat kesan tetakan di bahagian belakang kepala dan disahkan telah meninggal dunia,” ujar Ahmad Dzaffir.
Tambahnya, butiran lanjut tentang identiti mangsa dan suspek masih dalam siasatan.
Berdasarkan rekod hotel, mangsa telah mendaftar masuk ke hotel itu kelmarin (Ahad).
Tiada dokumen pengenalan diri ditemui di lokasi kejadian, dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.