Wanita ditahan simpan ratusan unit mercun
Nazialita Geynna Maharan
Mei 31, 2017 16:56 MYT
Mei 31, 2017 16:56 MYT
Belum lagi sempat mengaut keuntungan, hasrat seorang wanita untuk menjual lebih 200 mercun pelbagai jenis tidak kesampaian apabila ditahan polis di rumahnya pada malam Selasa.
Difahamkan, wanita berusia 54 tahun itu didapati menyimpan 10 jenis mercun di rumahnya di Taman Muhibbah, di sini, ketika ditahan sekitar jam 10.30 malam oleh pihak polis.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Supt Abd Fattah Abd Rahman berkata, siasatan awal mendapati semua mercun itu bakal dijual kepada orang ramai sewaktu bulan Ramadan dan pada sambutan Hari Raya Aidilfitri.
"Berdasarkan maklumat dan siasatan dijalankan, anggota membuat serbuan di rumah wanita tersebut pada malam Selasa.
"Selepas pemeriksaan dilakukan di rumah tersebut, anggota mendapati wanita itu menyimpan 232 unit mercun pelbagai jenis,"katanya kepada pemberita.
Fattah berkata wanita tersebut kini ditahan bagi siasatan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM 10,000 atau kedua-duanya.