Wanita ditahan pamer gambar pemimpin Parti Komunis China di restoran

Shuhada Abdul Kadir
Januari 4, 2021 20:16 MYT
Wanita berusia 51 tahun itu ditahan ketika serbuan polis yang menerima maklumat awam, semalam. - Gambar/ PDRM
MELAKA: Seorang pemilik sebuah restoran di Jonker Walk, Jalan Hang Jebat, di sini ditahan selepas dipercayai mempamerkan gambar mirip pemimpin Parti Komunis China, Mao Zedong di premisnya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, wanita berusia 51 tahun itu ditahan ketika serbuan yang dilakukan hasil maklumat orang awam, semalam.
“Dalam operasi yang dijalankan kira-kira jam 1 tengah hari itu, kita dapati beberapa gambar pemimpin terbabit digantung di dinding bahagian dalam premis.
“Polis sudah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966 kerana menerbitkan propaganda sebuah pertubuhan haram, dan pemilik premis terbabit juga telah dibebaskan dengan jaminan polis, hari ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut ujarnya, kes terbabit juga disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menerbit atau mengedarkan kenyataan, khabar angin atau laporan dengan niat menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.
Pada Sabtu tular gambar hiasan di dalam sebuah restoran di George Town, Pulau Pinang yang memaparkan elemen komunisme dan pemimpin komunis dalam media sosial sehingga menimbulkan pertikaian netizen.
Selain itu, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) hari ini juga telah menurunkan papan iklan sebuah premis makanan di Taman Mount Austin, Johor Bahru kerana mengandungi unsur-unsur komunisme.
Selain memaparkan gambar pemimpin-pemimpin komunis, pekerja premis terbabit dikatakan turut berpakaian seperti tentera komunis China.
#restoran #wanita #ditahan #pemimpin #Parti Komunis China #Mao Zedong #pamer #dirampas #PDRM #polis #Jonker Walk #Melaka
;