Wanita ditahan bersama lebih 200 kilogram methamphetamine

Bernama
Julai 22, 2024 09:30 MYT
Ribuan Abdullah (tiga, kanan) menunjukkan bungkusan dadah yang disimpan di dalam guni pada sidang media di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Kampung Jijan hari ini. -Bernama
NILAI: Seorang wanita tempatan berusia 35 tahun ditahan bersama 273.7 kilogram dadah jenis Methamphetamine bernilai RM8.7 juta di Bandar Puteri Puchong, Selangor, pada 5 Julai.
Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Ribuan Abdullah berkata sepasukan anggota Kastam, menemukan 13 guni berisi 268 bungkusan berlabel teh cina yang mengandungi dadah tersebut di dalam kereta jenis Hyundai Starex, dipandu oleh wanita terbabit.
"Suspek yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di kelab hiburan, dipercayai menyewa kenderaan tesebut dari utara.
"Sindiket memperoleh dadah itu dari negara jiran, dibawa ke Lembah Klang melalui jalan darat dengan menyembunyikan barang tersebut di dalam guni," katanya pada sidang media hari ini.
Ribuan berkata berdasarkan berat rampasan dadah itu, lebih 1.3 juta individu dapat diselamatkan daripada penyalahgunaan dadah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 jika disabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup serta sebat tidak kurang 12 sebatan.
-- BERNAMA
#methamphetamine #Bandar Puteri Puchong #teh Cina #Dadah