Wanita ditahan bantu siasatan bayi diasuh mati lemas

Dewi Nur Harasha Alias
Mei 26, 2021 13:55 MYT
Polis merampas beberapa barangan seperti seluar dalam mangsa, besen mandi plastik, sampel air mandian, rambut, bangku plastik dan sapu tangan bagi siasatan lanjut.- Foto PDRM
BUKIT MERTAJAM: Polis menahan seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung seorang bayi perempuan berusia 18 bulan yang dijaganya meninggal dunia dipercayai kerana lemas, dalam kejadian di Taman Seri Juru, di sini semalam.
Dalam kejadian pada Selasa, mangsa dipercayai lemas di dalam besen mandian dan disahkan meninggal dunia di Hospital Seberang Jaya (HSJ) pada jam 1 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Seberang Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, susulan itu polis telah menahan pengasuh berusia 52 tahun pada jam 10 malam selepas menerima maklumat daripada pihak HSJ berhubung kematian bayi perempuan itu.
Shafee berkata, hasil bedah siasat ke atas mangsa pada jam 4 petang mendapati punca kematian disebabkan lemas dalam air.
"Semasa soal siasat dijalankan, wanita itu mendakwa bayi berkenaan berada dalam keadaan tidak sihat selain muntah sebelum anaknya menghubungi ambulans untuk bantuan lanjut.
"Manakala anak wanita berkenaan yang berusia 16 tahun pula mendakwa melihat ibunya memegang bayi tersebut dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dia menghubungi ambulans pada jam 11.37 pagi," katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Shafee, hasil siasatan lanjut mendapati suspek menjaga mangsa sejak sebulan lalu dan dia juga merupakan nenek saudara kepada bayi tersebut.
Kata Shafee, mangsa dihantar oleh keluarganya setiap hari Isnin hingga Jumaat pada jam 10 pagi sebelum dibawa pulang pada jam 6 petang.
Beliau berkata, polis turut merampas beberapa barangan seperti seluar dalam mangsa, besen mandi plastik, sampel air mandian, rambut, bangku plastik dan sapu tangan bagi siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
#bayi lemas #bayi meninggal dunia #Kanak-kanak #lemas #Seberang Perai #wanita ditahan #Bukit Mertajam #Akta Kanak-Kanak
;