Wanita disyaki ada hubungan sulit cedera ditikam suami

Munirah Mudzamli
Julai 9, 2021 22:49 MYT
Polis Kuching masih menjalankan siasatan termasuk mengenal pasti punca sebenar kejadian. - Gambar fail
KUCHING: Seorang wanita mengalami beberapa kecederaan di badan selepas ditikam suaminya dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Tabuan, Kuching pada Jumaat.
Menurut sumber suspek bertindak demikian akibat berang dan tidak puas hati terhadap isterinya yang dikatakan ada hubungan dengan seorang lelaki.
Tambah sumber itu lagi, suspek turut dikatakan menyerang lelaki berkenaan dengan senjata tajam menyebabkannya cedera selain sempat menyelamatkan diri dan bersembunyi di longkang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ahsmon Bajah ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan mengenai kejadian tersebut.
Bagaimanapun kata beliau, pihaknya masih lagi menjalankan siasatan termasuk mengenal pasti punca kejadian.
"Kita menerima laporan berhubung insiden itu pada pukul 1.10 petang. Dalam kes ini suspek telah ditahan selepas menyerah diri di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah IPD Kuching pada jam 2 petang, Jumaat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, wanita yang berusia 31 tahun tersebut berada dalam keadaan stabil dan kini dirawat di Hospital Umum Sarawak.
Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara 20 tahun dan denda atau sebatan.
#wanita cedera #Kuching #ahsmon bajah #hubungan sulit #Sarawak #senjata tajam
;