Wanita direman bantu siasatan penipuan pelaburan cecah RM1.2 juta

Adie Sufian Zulkefli
September 8, 2022 05:40 MYT
Perintah reman dikeluarkan Majistret Nurul Ainna Ahmad, terhadap suspek berusia 23 tahun bermula 8 hingga 9 September. - Foto Astro AWANI
SUNGAI PETANI: Mahkamah Majistret Sungai Petani hari ini membenarkan tempoh reman selama dua hari ke atas seorang wanita bagi membantu polis melengkapkan siasatan berhubung kes penipuan pelaburan tidak wujud membabitkan kerugian RM1.2 juta, Jun lalu.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Nurul Ainna Ahmad, terhadap suspek berusia 23 tahun bermula 8 hingga 9 September.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Pada Rabu Astro AWANI melaporkan seorang wanita ditahan polis ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling pada jam 4 petang Rabu.
BACA: Wanita 23 tahun ditahan penipuan pelaburan babit kerugian RM1.2 juta
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, setakat ini, pihaknya menerima sebanyak 33 laporan polis dari mangsa yang dikatakan terlibat dalam skim pelaburan berkenaan sehingga mencecah kerugian RM1.2 juta.
Dalam kejadian awal Jun lalu, seorang mangsa yang merupakan pembantu kedai berusia 30 tahun telah membuat laporan polis membolehkan kertas siasatan telah dibuka.
Mangsa tertarik dengan satu iklan di laman sosial Facebook yang menjanjikan pulangan wang lebih besar membolehkan mangsa membuat lebih banyak transaksi.
Bagaimanapun, apabila sampai tempoh dijanjikan, keuntungan yang dijanjikan tidak diperolehi dan mangsa mendakwa, suspek menghilangkan diri.
#wanita ditahan #penipuan pelaburan RM1 2 juta #Sungai Petani