Wanita dipercayai hilang di Sungai Kuantan
Mohd Zalani Md Atan
Jun 30, 2022 17:46 MYT
Jun 30, 2022 17:46 MYT
KUANTAN: Seorang wanita dipercayai hilang di kawasan benteng Sungai Kuantan, di sini, hari ini selepas dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak dua hari lalu.
Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, selepas mendapat panggilan berkaitan insiden tersebut kira-kira pukul 10.30 pagi tadi, seramai sembilan anggota termasuk pegawai bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, pihak bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBDM) Kuantan telah melakukan ‘size-up’ bagi memudahkan pencarian.
“Berdasarkan maklumat awal, pihak polis memaklumkan mangsa dipercayai tidak pulang ke rumah selepas mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.
“Pihak berkuasa turut menemui satu beg dan selipar mangsa di lokasi berdekatan restoran makanan segera yang juga berhadapan dengan hospital berkenaan, dekat situ,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, katanya lagi, operasi pencarian ini turut dibantu beberapa agensi lain termasuk pihak polis.
“Dalam pada itu, operasi bagi pencarian di sungai telah menggunakan sebuah bot aluminium,” katanya lagi.