Wanita dipenjara, denda larikan jongkong emas, curi wang majikan
Shuhada Abdul Kadir
November 16, 2023 14:21 MYT
November 16, 2023 14:21 MYT
AYER KEROH: Seorang wanita dihukum penjara lima bulan dan denda RM11,000 di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, kerana melarikan jongkong emas dan mencuri wang majikannya, hujung bulan lalu.
Goh Min Xiu, 25, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Mandarin terhadapnya di hadapan Majistret Khairunnisak Hasni.
Mengikut pertuduhan pertama, dia mencuri satu jongkong emas 999 seberat 100 gram bernilai RM25,393 di sebuah kedai emas di Jalan Kee Ann, Melaka Tengah kira-kira pukul 4.30 petang, 30 Oktober lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, dan bagi kesalahan kedua boleh juga dikenakan penjara, denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, tertuduh telah datang sebagai pelanggan dan meminta pekerja kedai emas mengeluarkan jongkong emas berkenaan dari almari kaca.
Tertuduh kemudian memegang jongkong tersebut selama kira-kira tiga minit sebelum melarikan diri dengan sebuah kenderaan bersama dua lagi individu.
Selain itu tertuduh turut mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri wang tunai RM2,427 milik majikannya di Restoran Top Hit Ong Thai Mookata BBQ, Melaka Tengah pada pukul 10 malam, 22 Oktober lalu.
Justeru dia didakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, tertuduh yang juga bekas juruwang dalam rayuannya merayu hukuman ringan memandangkan dia hanya tinggal berdua bersama ibunya yang sudah uzur selain telah menyesali kesalahannya itu.
Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar memohon hukuman setimpal memandangkan kesalahan dilakukan melibatkan nilai kerugian yang tinggi.
Majistret mengenakan hukuman penjara tiga bulan bermula tarikh ditangkap pada 7 November lalu beserta denda RM10,000 atau penjara dua bulan jika gagal bayar bagi kesalahan melarikan jongkong emas.
Beliau turut mengenakan hukuman penjara dua bulan selepas tamat tempoh pemenjaraan bagi kesalahan pertama serta denda RM1,000 atau sebulan penjara jika gagal bayar.