Wanita dikhuatiri lemas ketika menyeberang jambatan gantung
Norfarhiza Mohd Atar
Mac 3, 2023 14:21 MYT
Mac 3, 2023 14:21 MYT
KUANTAN: Seorang wanita dikhuatiri lemas sewaktu menyeberangi jambatan gantung Kampung Aur, Bukit Ibam dekat Rompin pagi tadi.
Mangsa yang hilang dikenali sebagai Nur Hafizah Zailan, 23, yang beralamat di Lorong Gangsa 2, Bukit Ibam, Rompin.
Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Balai Polis Bukit Ibam berhubung kejadian itu jam 10.38 pagi sebelum sepasukan lapan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muadzam Shah bergegas ke tempat kejadian.
"Pasukan bomba menaiki dua jentera serta turut membawa sebuah bot fiber ke lokasi kejadian bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR).
"Pasukan bomba bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah bergerak ke lokasi kejadian.
"Perjalanan melalui laluan darat dan air kerana kawasan sekitar dilanda banjir," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.