Wanita dikhuatiri lemas ketika memancing
Noraniza Kamsani
Januari 21, 2018 20:25 MYT
Januari 21, 2018 20:25 MYT
Kurang dua hari selepas seorang kanak-kanak dikhuatiri lemas akibat terjatuh ketika memancing di Jaya Gading Kuantan, hari ini, seorang wanita turut mengalami nasib yang sama ketika memancing di Jambatan Felda Jengka 15 dekat sini, petang tadi.
Dalam kejadian pada jam 4.15 petang itu, Siti Rukiah Hassan, 38 tahun, dikatakan terjatuh ketika memancing di sungai di jambatan berkenaan sebelum dihanyutkan arus deras.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 4.31 petang tadi.
Berdasarkan maklumat awal, mangsa terjatuh ke sungai semasa memancing.
Selain JBPM, operasi mencari dan menyelamat turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Setakat ini, operasi mencari dan menyelamat masih giat dijalankan bagi mengesan mangsa.